Rakaman sekitar Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Hari Lahir Ke-86 Tun Taib di Stadium Miri, hari ini.

MIRI: Visi Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud semasa menjadi Ketua Menteri telah membawa negeri ini ke era permodenan melalui pelbagai program pembangunan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia termasuk perindustrian melalui Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score).

Menurutnya, inisiatif terbabit telah membuka ruang dan laluan untuk negeri ini membangun serta mengwujudkan nilai tambah kepada sumber air yang banyak bagi menghasilkan tenaga yang diperlukan oleh industri.

“Ini juga dapat dilihat melalui pembinaan empangan hidro terutamanya Bakun sekali gus berupaya menyediakan banyak tenaga dengan tarif elektrik yang kompetitif sebagai tarikan kepada para pelabur,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Hari Lahir Ke-86 Tun Taib di Stadium Miri, hari ini.

Tambahnya, kejayaan Sarawak di bawah kepimpinan Tun Taib juga boleh dilihat apabila membangunkan zon-zon perindustrian seperti Samajaya dan Samalaju yang menyediakan peluang pekerjaan kepada ribuan rakyat negeri ini khususnya golongan belia.

“Saya dan rakan-rakan dalam Kabinet amat menghargai usaha Tun Taib untuk meletakkan asas yang amat kukuh bagi kita melangkah ke era ekonomi yang moden.

“Secara peribadi saya juga amat menghargai peluang berkhidmat di bawah kepimpinan Tun Taib pada peringkat awal pelaksanaan program perindustrian negeri ini ketika menjadi Menteri Pembangunan Perindustrian Sarawak yang pertama pada tahun 1987.

“Pengalaman ini amat berguna kepada saya dalam memimpin kerajaan dan meneruskan legasi,” ujarnya.

Dalam hal berkaitan, Abang Johari juga mengucapkan tahniah Jawatankuasa Pengelola Perayaan Sambutan Hari Lahir Ke-86 Tun Taib di bawah kepimpinan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Kim Shin kerana berjaya menganjurkan Perhimpunan dan Rapat Umum yang pertama selepas dilanda Covid-19.

Sambutan itu menampilkan seramai 3,440 peserta terdiri daripada 86 kontinjen yang menyertai acara perarakan.

Istiadat dimulakan sekitar jam 8.45 pagi tadi sekali gus menyaksikan Tun Taib menerima tabik hormat daripada Kawalan Kehormat Utama, Rejimen Askar Melayu Diraja Oya Sibu diiringi lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku, seterusnya 17 das tembakan meriam kehormat.

Hadir sama isteri Tun Taib, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib; Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg; isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang; Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; Datuk Lee Kim Shin; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Mohamad Abu Bakar Marzuki serta barisan tetamu kehormat yang lain.

DOA… Tun Taib dan Toh Puan Ragad ketika bacaan doa pada Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Hari Lahir Ke-86 Tun Taib di Stadium Miri, hari ini.

 

Rakaman sekitar Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Hari Lahir Ke-86 Tun Taib di Stadium Miri, hari ini.

Suara Sarawak