KUCHING: Penyandang kerusi Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof tutup mulut apabila ditanya siapa yang akan bertanding pada pilihan raya akan datang.

“Soalan itu untuk Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg). Tanya dia dan tunggu pengumumannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penutupan Piala Kejohanan Tenis Datuk Seri Fadillah Yusof di kompleks Persatuan Tenis Bumiputera Sarawak (PTBS), di sini, hari ini.

Untuk rekod, Fadillah yang merupakan Ketua Whip GPS dan naib presiden kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telah menyandang kerusi parlimen Petra Jaya empat penggal berturut-turut.

Beliau menggalas tanggungjawab sebagai ahli Parlimen tersebut sejak memenangi kerusi pada pilihan raya umum ke-11 (PRU11) pada 2004.

Pada PRU14, beliau mempertahankan kerusi itu dalam pertembungan tiga penjuru dengan majoriti 28,306 menewaskan Datuk Ir. Dr Nor Irwan Ahmat Nor dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Hamdan Sani dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Suara Sarawak