KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan mengumumkan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selepas selesai disaring oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malah, beliau berkata belum lagi mempunyai senarai bagi kesemua calon GPS, yang merangkumi empat parti komponen iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Abang Johari (tengah) bersama Uggah (enam kiri), Sim (lima kiri), Ibrahim (empat kiri), Shankar (lima kanan) dan tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan ketika jamuan tengah hari sempena sambutan Deepavali anjuran peguam, Shankar R.P. Asnani di The King’s Curry di sini, hari ini.

“Saya menunggu mereka (parti komponen) untuk mengemukakan senarai.

“Memang mereka sudah ada senarai tetapi bagi setiap konstituensi ada tiga orang calon, ada dua orang. Jadi saya kena pilih seorang daripada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menghadiri jamuan tengah hari sempena sambutan Deepavali anjuran peguam, Shankar R.P. Asnani di The King’s Curry di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan ADUN Satok Datuk Ibrahim Baki.

Ditanya mengenai sama ada penyandang Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sah tidak mempertahankan kerusi itu pada PRU-15, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berseloroh menjawab tidak tahu.

“Saya tidak tahu, tanya beliau sendirilah,” katanya.

Suara Sarawak