KUCHING: Berang menunggu terlalu lama, orang ramai yang datang ke pejabat Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mengamuk sehingga ada yang bertindak menendang pintu masuk ke bangunan berkenaan, semalam.

Difahamkan, tujuan kehadiran mereka adalah untuk mendapatkan borang bagi memohon gerai jualan sempena Regata Sarawak yang dijadual pada 28 Oktober hingga 6 November nanti.

Orang ramai mengerumuni pintu masuk bangunan DBKU untuk mendapatkan borang bagi memohon gerai jualan sempena Regata Sarawak yang dijadual pada 28 Oktober hingga 6 November nanti.

Malah, video menunjukkan kejadian itu turut tular di Facebook.

Dalam perkongsian seorang individu yang memuat naik video berkenaan, dia menyatakan orang ramai mula berkumpul dan berbaris di ibu pejabat DBKU dari jam 10 malam.

Bagaimanapun, katanya pada jam 8.30 pagi baru kaunter bagi pengambilan borang dibuka.

“Memanglah mereka (DBKU) tidak suruh berbaris awal tetapi orang yang mahu berjual sanggup datang seawal malam hari,” katanya.

Justeru, dia berharap agar DBKU tidak lagi ‘menyusahkan’ orang ramai dengan cara itu, sebaliknya memperkenalkan kaedah permohonan secara dalam talian agar lebih adil kepada semua pihak.

“Ambillah cara mudah tapi adil untuk semua,” katanya.

Suara Sarawak