KUCHING: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak bakal mengadakan Persidangan Antarabangsa Sains Inovatif dan Teknologi Kajian dan Pendidikan (InnoSTRE) ke-2, 2022 bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 26 dan 27 Oktober ini.

Bahagian Pengurusan Tadbir Urus, Pentadbiran dan Korporat UiTM Sarawak dalam satu kenyataan mengesahkan, persidangan akan dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Persidangan hibrid dua hari anjuran bersama Universiti Perubatan Anhui, China dan Universiti Jambi (UNJA) Indonesia itu bakal menampilkan pakar-pakar khas dalam sesi pembentangan.

“Lebih daripada 140 kertas kerja akan dibentangkan oleh peserta antarabangsa dan tempatan dalam enam sesi Forum Antarabangsa berkaitan ‘Inovasi Farmaseutikal dan Nutraseutikal’,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Tambah kenyataan itu, forum tersebut bakal menghimpunkan tujuh ahli panel dari Universiti Perubatan Anhui China; Universiti Persekutuan Baltik Immanuel Kant Rusia, Bath Unibersity United Kingdom, Universiti Sains dan Teknologi Macau China, Universiti Hong Kong, Vitaiz Sdn Bhd, Malaysia dan Eman Research Ltd, Australia.

Orang ramai turut dialu-alukan untuk turut hadir memeriahkan forum antarabangsa hibrid tersebut bermula Rabu pada jam 2 hingga 6 petang.

Suara Sarawak