MIRI: Seorang lelaki warga emas dikejut dengan penemuan seekor ular sawa batik seberat 10 kilogram di dalam longkang berhampiran kebun rumahnya sini, pagi tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Miri, Mirwan Shah Masri berkata, salakan kuat oleh anjing peliharaannya kemudian membawa kepada penemuan ular tersebut.

“Lelaki warga emas berusia 67 tahun itu keluar untuk memeriksa dan terkejut apabila mendapati terdapat seekor ular sawa batik sepanjang empat kaki di dalam longkang berhampiran kebun rumahnya,” katanya dalam kenyataan.

Seekor ular sawa batik seberat 10 kilogram tangkap di Jalan Acorus, Taman Delight Miri, hari ini.

Mirwan berkata atas faktor keselamatan, pengadu terus menghubungi talian kecemasan dan meminta bantuan untuk menangkap ular tersebut.

Ujarnya, sepasukan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Miri bergerak ke lokasi seterusnya menangkap ular tersebut menggunakan peralatan khas.

“Ular sawa batik itu telah dilepaskan semula ke habitat asalnya dan dengan itu, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.15 pagi,” tambahnya.

Suara Sarawak