Datuk Seri Dr Wan Junaidi

KUCHING: Undang-undang larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti akan berkuat kuasa esok, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Katanya tarikh kuat kuasa Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 itu telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong selaras dengan seksyen 1(2) dan seksyen 1(3) Akta A1663.

“Dengan penetapan tarikh baharu kuat kuasa bagi Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 [Akta A1663] mulai 5 Oktober 2022, maka pindaan bagi seksyen 7A Jadual Kelapan, Fasal 6 Perkara 48, Perkara 160 dan Fasal baharu 3A Perkara 10 serta Perkara baharu 49A, dapat dikuatkuasakan dengan segera.

“Ini seterusnya membenarkan pemakaian Akta A1663 ini di peringkat negeri, tertakluk perkenan Sultan/Tuan Yang Terutama/Raja Negeri berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau berkata kerajaan komited memastikan undang-undang larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti yang digubal dapat melindungi hak rakyat negara ini yang telah memberi kepercayaan tinggi kepada Ahli Dewan Rakyat yang dipilih ketika proses pilihan raya.

Menjelas lanjut, Wan Junaidi berkata Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 [Akta A1663] telah mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 2022 dan telah diwartakan sebagai Akta A1663 pada 6 September 2022.

Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 [Akta A1663] diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat pada 28 Julai 2022 dengan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat seramai 209 orang dan di Dewan Negara pada 9 Ogos 2022 dengan sokongan majoriti seramai 52 orang Senator.

Suara Sarawak