KUCHING: Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (Unifor) membiayai 86 projek menerusi agihan geran fasa pertama tahun ini yang berjumlah RM24.643 juta.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, projek tersebut membabitkan pembinaan, pengubahsuaian atau naik taraf pelbagai rumah ibadat, dewan serbaguna dan kemudahan lain.

“Ini membuktikan Unifor berfungsi dengan baik dan sangat relevan serta diperlukan untuk membantu semua agama bukan Islam di negeri ini,” katanya.

DOUGLAS UGGAH bersama-sama wakil penerima pada majlis ringkas menyampaikan cek geran Unifor di Kuching, hari ini.

Beliau yang juga menteri bertanggungjawab Unifor berkata demikian selepas menyampaikan cek bagi 76 projek yang menelan belanja RM19 juta di sini, hari ini.

Timbalan Premier Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee dan timbalan-timbalan menteri Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Datuk Gerald Rentap Jabu, Datuk Dr Penguang Manggil dan wakil rakyat lain hadir bagi menerima geran terbabit.

Uggah turut mengingatkan semua pertubuhan agama yang menerima geran tersebut supaya memantau dengan teliti pelaksanaan projek masing-masing supaya ia memberi manfaat besar kepada orang ramai dalam mengamalkan pegangan agama dan kewajipan mereka.

ADUN Krian Friday Belik menerima cek geran Unifor yang disampaikan oleh Douglas Uggah di Kuching, hari ini.

Beliau menambah, seperti tahun lalu Kerajaan Sarawak pada 2022 sekali lagi meluluskan RM50 juta untuk membolehkan Unifor melaksanakan objektif murninya.

Bagi pengagihan geran seterusnya dijangka dilakukan pada akhir tahun ini.

Suara Sarawak