KOTA SAMARAHAN: Seramai 3,093 pelajar bakal melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) untuk sesi 2022/2023.

Naib Canselor Unimas Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, setakat ini pihaknya juga masih menunggu keputusan rayuan dan kemungkinan akan menerima kira-kira 600 hingga 700 pelajar lagi selepas proses tersebut.

Kadim merakam swafoto bersama-sama para pelajar pada Majlis Ikrar Pelajar (MIP) Unimas Sesi 2022/2023 di Arena Gemilang, DeTAR Putra, Unimas, hari ini.

“Kehadiran anda semua sebagai warga baharu Unimas amat dialu-alukan,” katanya ketika berucap pada Majlis Ikrar Pelajar (MIP) Unimas Sesi 2022/2023 di Arena Gemilang, DeTAR Putra dekat sini, hari ini.

Lafaz ikrar pelajar tersebut diketuai oleh wakil pelajar sesi 2022/2023 Mclarren Jenson Guang sekali gus menyerahkan watikah Aku Janji kepada Kadim dan disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Unimas Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie.

WATIKAH… Mclarren (enam kiri) menyerahkan watikah Aku Janji kepada Kadim (tujuh kiri) dan disaksikan oleh Panglima Sulong (tengah).

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dr Wan Hashim Wan Ibrahim; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Profesor Dr Kamarudin Kana; Pendaftar Unimas Azlan Ramli; Yang di-Pertua MPP Sesi 2021/2022 Saidatul Najwa Abdul Halim; Pengerusi Jawatankuasa MAP Sesi 2022/2023 Premanand Ayavoo serta wakil yang lain.

Suara Sarawak