KUCHING: Dengan adanya wakil dalam Lembaga Pengarah Hasil Dalam Negeri (LHDN), Sarawak dapat menuntut jumlah geran khas yang sesuai berdasarkan hak dan undang-undang.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Fazzrudin Abdul Rahman berkata, tuntutan geran itu adalah seperti yang termaktub di bawah Perkara 112(D) Perlembagaan Persekutuan.

“Saya amat mengalu-alukan langkah Kabinet Persekutuan seperti yang termaktub dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962, bahawa Sarawak mesti mempunyai wakil dalam LHDN.

“Ini juga atas semangat rakan kongsi bersama di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan Sarawak dan Sabah harus mempunyai pengetahuan penuh tentang kedudukan kewangan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Fazzrudin Abdul Rahman

Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak itu berkata demikian mengulas mengenai Kabinet telah meluluskan cadangan meminda Akta LHDN 1995 bagi membolehkan wakil dari Sarawak dan Sabah sebagai ahli lembaga.

“Kelulusan itu juga merupakan manifestasi hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) melalui kemasukan ahli parlimen GPS dalam pentadbiran.

“GPS melalui penyertaannya dalam Kerajaan Persekutuan, telah mendesak agar hak negeri di bawah MA63 dikembalikan dan ini adalah bukti komitmen, bakti dan kewajipan kami untuk memulihkan hak-hak negeri yang terhakis,” tegasnya.

Terdahulu semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, Kabinet telah meluluskan cadangan itu pada 30 Sept lalu dan seterusnya ia akan dibentangkan di Parlimen untuk kelulusan.

Suara Sarawak