KUCHING: Penyandang Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dikhabarkan tidak akan mempertahan kerusinya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurut sumber yang dipetik daripada Free Malaysia Today, wakil rakyat Santubong selama empat penggal sejak 2004 itu telah meminta untuk tidak dinamakan semula sebagai calon dan tidak mempertahankan kerusinya yang setakat ini mempunyai 80,000 pengundi termasuk pengundi automatik.

Keputusan yang mengejutkan beberapa ahli parti dan pemimpin perniagaan.

Sebaliknya beliau mencadangkan kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk mencalonkan setiausaha politiknya yang juga Timbalan Ketua PBB cawangan Demak Laut, Datuk Sri Syed Hamzah Syed Paie.

Wan Hamzah berusia 48 tahun merupakan anak jati Kuching ialah individu yang sering dilihat masuk kawasan menggantikan penyandang ketika kesibukan Wan Junaidi di Kuala Lumpur.

Beberapa sumber di kawasan tidak menolak sekiranya Syed Hamzah dinamakan calon di kawasan berkenaan.

“Terserah kepada Pengerusi GPS kerana Syed Hamzah bukan orang asing di Parlimen Santubong. Beliau sering turun kawasan menggantikan Datuk Wan Junaidi yang sibuk di Kuala Lumpur.” kata sumber itu.

Sumber itu berkata lagi, sekiranya betul dicalon, pencalonan Syed Hamzah dianggap tidak menimbullkan masalah besar kerana arif dengan kawasan Parlimen Santubong yang turut menaungi tiga Dun — Dun Pantai Damai, Dun Tanjung Datu dan Dun Demak.

“Itulah, ia terpulang lagi dengan Premier. Kalau boleh kami mahu calon yang sudah tahu apa masalah rakyat, tahu tangisan dan keperluan rakyat. Bukan calon yang menang, kemudian hilang,” katanya.

Bagaimanapun, keputusan muktamad mengenai perkara itu terletak pada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang juga Presiden PBB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Dalam pada itu, sekiranya benar Wan Junaidi berundur, terdapat spekulasi mengatakan bahawa beliau disyorkan menjadi sebagai senator supaya boleh dimasukkan ke dalam barisan Jemaah Menteri akan datang.

Wan Junaidi, 77, merupakan figura politik yang disegani dan disayangi rakyat kerana telah banyak berjasa kepada negeri dan negara sebagai menteri persekutuan.

Beliau dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) di bawah bawah Kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebelum ini, ketika pemerintahan Muhyiddin Yassin beliau menyandang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi bermula 10 Mac 2020 sehingga Ogos 2021.

Bekas Ahli Parlimen Batang Lupar ini pernah dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat (Timbalan Speaker Dewan Rakyat) pada tahun 2008.

Wan Junaidi juga pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Dalam Negeri pada 2013.

Beliau pernah menjadi Pegawai Penjaga Cawangan Pendakwaan Kontinjen Polis Sarawak di Ibu Pejabat Kontinjen dan pernah bertempur dengan komunis antara tahun 1969 hingga 1973 sebelum menjadi peguam.

Pada PRU-14, Wan Junaidi menang dengan mendapat 26,379 undian ketika menentang Mohamad Fidzuan Zaidi daripada parti Pakatan Harapan yang mendapat 6,894 undi dengan majoriti undi sebanyak 19,485.

Suara Sarawak