Warga asing dijatuhi hukuman penjara di dua mahkamah berasingan

KUCHING: Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara di dua mahkamah berasingan di sini, hari ini, atas kesalahan masuk ke Malaysia tanpa dokumen yang sah dan memiliki senjata api selaras senapang angin ketika ditahan pihak polis di Kampung Sapit, September lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Afidah Abdul Rahman menjatuhkan hukuman penjara empat bulan dan dua sebatan terhadap Jodi Rahmat, 29, dari Entikong, Indonesia, selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) kanun yang sama.

Dia didakwa memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah melalui Kampung Sapit, Padawan sekitar jam 10.15 pagi, 30 September lalu.

Sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun dan boleh dikenakan sebat tidak melebihi enam sebatan.

Manakala di Mahkamah Majistret, tertuduh dijatuhi hukuman penjara lima bulan kerana memiliki selaras senapang angin di tempat yang sama ketika ditahan pihak polis.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Majistret Zaiton Anuar memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia selepas menjalani hukuman penjara.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman ​​Mutallib Mohamad Shariff dan Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang, manakala, tertuduh tidak diwakili peguam.

 

Suara Sarawak