KUCHING: Seorang wanita warga China dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana terlibat dalam aktiviti persundalan dengan menawarkan khidmat seks di sebuah pusat urut di Jalan Rock, September lalu.

Tertuduh Liu Shuxiu, 52, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Mengikut kertas pertuduhan, pada 28 September lalu sekitar jam 8.30 malam bertempat di sebuah pusat urut refleksiologi di Jalan Rock telah mencari langganan yang bermaksud persundalan.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen oleh anggota polis menuju ke Mahkamah Majistret untuk pertuduhan kes persundalan.

Zaiton memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut selepas menjalani hukuman penjara.

Sementara itu, tertuduh turut dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen kerana tinggal di negara ini lebih masa selepas pas lawatannya tamat tempoh pada 2 Januari 2019.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) Kanun yang sama.

Sabit kesalahan, boleh dihukum denda RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Suara Sarawak