KUCHING: Rakyat negeri ini diseru untuk menunaikan kewajipan sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dengan turun mengundi 19 November depan.

Bekas ahli politik Sarawak, Datuk Seri Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi berkata, hak sebagai pengundi adalah penting dalam usaha rakyat menentukan kerajaan yang memimpin.

BERCAKAP…Pengerusi PAWE Cawangan Kuching, Datuk Seri Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi

“PRU bukanlah perkara selalu berlaku, inilah masa kita menunaikan hak dan tanggungjawab, tidak hanya bercakap sahaja.

“Kita kena berkorban untuk membuktikan kesetiaan terhadap tanah air,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), di sini hari ini.

Mengulas mengenai kenaikan harga tiket penerbangan menjelang musim PRU kali ini, Sharifah memberi cadangan agar kelonggaran dapat diberikan kepada warga emas supaya harga tiket dapat dipertimbangkan semula.

Sharifah yang juga merangkap Pengerusi PAWE Cawangan Kuching menyeru ahli-ahli PAWE untuk terlibat secara aktif dalam mana-mana program anjuran PAWE atau bersama masyarakat.

Setakat ini katanya, PAWE Kuching telah disertai seramai lebih 250 orang ahli.

Suara Sarawak