KUCHING: Orang ramai diingatkan untuk tidak terpengaruh dan berhati-hati dengan kewujudan sebuah akaun palsu di media sosial, Facebook yang menyamar sebagai Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Fazzrudin Abdul Rahman menegaskan, ini kerana akaun palsu tersebut tidak bergabung atau diiktiraf oleh GPS.

“Ini adalah taktik politik longkang yang dilakukan oleh pihak pembangkang yang kehilangan akal dan tidak mempunyai modal untuk mendapatkan sokongan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Akaun palsu yang sengaja membuat kenyataan bersifat perkauman.

Tambah Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak itu, akaun yang menggunakan nama ‘GPS Sarawak’ dan logo GPS sebagai gambar profilnya itu juga telah membuat kenyataan tidak sensitif serta bersifat perkauman bertujuan untuk memfitnah kerajaan GPS.

“Rakyat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama tidak bertolak ansur dengan fitnah bersifat perkauman serta serangan terhadap isu sensitif berkaitan agama seperti ini.

“Malah, Sarawak melalui GPS merupakan sebuah kerajaan inklusif yang dibuktikan melalui dasar-dasarnya dengan setiap rakyat diberi hak untuk mengamalkan agama dan adat resam masing-masing,” ujarnya.

Tegasnya, rakyat negeri ini mestilah menolak politik perpecahan yang meretakkan garis perkauman dan agama kerana ia akan membatalkan usaha pemimpin terdahulu untuk Sarawak yang harmoni.

Terdahulu, sebuah akaun palsu pro-GPS wujud di media sosial yang mengeluarkan ayat provokasi bersentimenkan perkauman dan agama bertujuan sebagai taktik kotor untuk mencemar nama GPS dalam perebutan memilih Kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini.

Suara Sarawak