KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa untuk mewujudkan mekanisme sistem pengundian yang lebih baik bagi memudahkan rakyat Malaysia di luar negeri menjalankan tanggungjawab mengundi.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ketika ini harga tiket penerbangan agak tinggi dan ia menyukarkan pengundi yang berada di luar Sarawak untuk balik.

“Jika mereka di luar Malaysia dan tentera mampu dapat melaksanakan undi pos, mengapa SPR tidak melakukan perkara yang sama untuk individu yang berada di luar negeri masing-masing?

BERCAKAP… Abdul Karim bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Foliday Persatuan Penggalakan Pelancongan Inbound China Malaysia (Mica) dan Rangkaian B2B di Hotel Waterfront

“Atau SPR boleh melihat kepada sistem undi dalam talian. Jika kita mempercayai perbankan dalam talian, mengapa SPR tidak boleh mempercayai dan mencipta sistem sedemikian untuk mengundi?

“Justeru, saya ingin melihat sistem yang lebih baik digunakan dan itu adalah jalan ke hadapan. SPR jangan tidur, anda perlu mewujudkan sistem pilihan raya yang berpandangan jauh pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kempen Foliday Persatuan Penggalakan Pelancongan Inbound China Malaysia (Mica) dan Rangkaian B2B di Hotel Waterfront, dekat sini, hari ini.

Ketika ditanya sama ada alternatif pengundian dalam talian atau undi pos akan dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak, Adun Asajaya itu memaklumkan perkara tersebut adalah mustahil kerana parlimen telah dibubarkan dan sukar untuk meminda undang-undang.

“Bagaimanapun, untuk pilihan raya akan datang, sistem itu perlu diperbaiki. Perkara ini perlu dikaji supaya rakyat dapat menjalankan kewajipan mengundi dengan mudah,” jelasnya.

Suara Sarawak