CEMERLANG…Barisan pemain X-SPT FC.

KUCHING: Pendatang baharu X-SPT FC meneruskan kecemerlangan dalam saingan Liga Bola Sepak Veteran Samarahan 2022.

Mencetak kemenangan kedua dengan membelasah Sambir Bistari (5-1) pada perlawanan kedua di Padang Bola Sepak Kampung Sambir, Asajaya, Ahad lalu.

Dalam keadaan Sambir Bistari yang terdahulu berada di depan menerusi gol awal dijaringkan Jemain Zain minit ke-5.

Sentuhan berbisa bekas pertahanan berpengalaman kelab tersohor Bumi Kenyalang (Ibraco FC), Sharuddin Salam antara yang mencuri tumpuan apabila meledak dua gol minit ke-45 dan 60.

Sambil tiga lagi gol skuad kendalian Musa@Tuwet Hamid itu dijaringkan Jeferi Ahim pada minit ke-40, Muhammad Attaulah@Lobo minit ke-49 dan Iwan Kurniawan Ahmadi minit ke-53.

Kemenangan tersebut meletakkan X-SPT FC gah di kedudukan teratas dengan enam mata setakat ini.

“Syabas dan tahiah kepada pemain kerana berjaya meneruskan rentak kemenangan.

“Tiga mata yang cukup berharga bagi kami dan diharap pemain dapat mengekal momentum tersebut,” ujar Musa kepada Arena Suara Sarawak.

Katanya, mereka turun tanpa barisan kesebelasan yang lengkap pada perlawanan hujung minggu lalu ekoran lima pemain utama yang terpaksa diketepikan kerana masalah yang tidak dapat dielakkan.

Aksi ketiga X-SPT FC akan menentang BNG pada Sabtu ini.

Suara Sarawak