Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad

KUCHING: Sebanyak 10 kertas siasatan polis Sarawak berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) melibatkan jenayah khianat merosak, mencuri dan membakar bendera parti politik berlaku di Kuching.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad, jumlah tersebut daripada keseluruhan 18 kertas siasatan yang dibuka pihaknya untuk tempoh 5 hingga 14 November 2022.

“Sejumlah 18 kertas siasatan dibuka berkaitan PRU-15 setakat semalam berkaitan kesalahan menceroboh dan khianat (mencabut, mencuri dan membakar bendera) direkodkan di negeri ini.

“Kesalahan jenayah terbanyak adalah 10 kes khianat berlaku di Kuching seperti merosak serta menconteng bendera parti-parti politik yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan / 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas memantau proses pengundian awal polis Sarawak di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.

Bagaimanapun menurutnya, kesalahan-kesalahan tersebut masih dalam siasatan dan tidak mendatangkan sebarang ancaman yang memberi kesan jelas kepada keselamatan awam.

Dalam pada itu katanya, untuk tempoh yang sama polis Sarawak menerima sebanyak 48 laporan berkaitan pilihan raya.

“Sementara sebanyak 2,053 permit telah dikeluarkan kepada calon-calon dan parti- parti yang bertanding di seluruh Sarawak,” jelasnya.

Suara Sarawak