KUCHING: Sebanyak 10,634 kes atau 64.6 peratus kes berdaftar di Mahkamah Bumiputera Sarawak berjaya diselesaikan setakat 24 November lalu.

Menteri di Jabatan Premier, Datuk John Sikie Tayai berkata, ia melibatkan daripada keseluruhan 16,468 kes berdaftar di negeri ini.

“Mahkamah Bumiputera Sarawak ketika ini sedang melaksanakan tindakan proaktif dalam menyelesaikan kes tertangguh melalui Majistret Kontrak untuk membantu mahkamah.

“Tumpuan diberikan kepada penyelesaian kes melibatkan pertikaian tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dan pampasan tanah,” katanya pada ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya setakat ini sejumlah 7,119 majistret dan pegawai berkhidmat di Mahkamah Bumiputera seluruh Sarawak yang terdiri daripada seorang hakim merangkap presiden Mahkamah Rayuan Bumiputera.

“Selain itu, sebanyak 58 Majistret Ex-Officio terdiri daripada residen dan pegawai daerah, tiga residen dan 16 majistret kontrak, 6,492 penghulu, 456 ketua mahkamah dan 93 ketua atas mahkamah,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya pelbagai program peningkatan kapasiti untuk meningkatkan kemahiran dan kompetensi bagi mengendalikan kes mahkamah turut dianjurkan kepada pegawai-pegawai terlibat sejak tahun 2014.

“Sehingga kini, lebih 6,000 orang telah menghadiri program berterusan tersebut yang juga melibatkan ketua kaum dan penghulu supaya mereka dapat meningkatkan keupayaan menyelesaikan kes-kes berdaftar,” jelasnya.

 

Suara Sarawak