MENJELANG 2025 Sarawak menyasar menyiapkan pembinaan semua jambatan menghubungkan jalan utama dengan jalan pesisir.

Dengan menggunakan peruntukan sendiri, dalam tempoh tiga tahu seluruh Sarawak bakal terhubung dengan jalan darat, termasuk seluruh kawasan pesisir yang terpisah sungai.

Ketika ini, jika menggunakan jalan pesisir, pengguna perlu menaiki feri untuk merentasi sungai.

Misalnya untuk ke Maludam darKuching, perlu menggunakan empat perkhidmatan feri merentasi Batang Samarahan, Batang Sadong, Batang Lupar dan Batang Saribas. TANPA TOL Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha pembinaan semua jambatan tanpa tol ini adalah untuk manfaat rakyat di negeri ini.

Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM11 bilion. Daripada jumlah itu, RM5 bilion diperuntukkan untuk pembinaan jambatan serta jalan pesisir.

Manakala, RM6 bilion bagi pembinaan projek Jalan Utama Kedua (JUK).

“Rancangan jangka panjang tersebut adalah bagi memperbaiki rangkaian infrastruktur jalan raya Sarawak dengan tumpuan menjana peluang pertumbuhan sosioekonomi di negeri ini,” tambah Abang Johari.

Sementara, sembilan jambatan sebagai pelengkap jalan pesisir ialah Jambatan Batang Rambungan sepanjang 560 meter (RM98.5 juta), Jambatan Sungai Krian sepanjang 300 meter (RM174 juta) dan Jambatan Batang Rajang sepanjang 1.2km (RM331.37 juta).

Seterusnya, Jambatan Batang Lupar yang merupakan terpanjang, iaitu 5.1km (RM848 juta), Jambatan Batang Saribas sepanjang 1.55km (RM496 juta), Jambatan Batang Paloh sepanjang 1.7km (RM298 juta) dan Jambatan Muara Lassa sepanjang 2.43km (RM597.58 juta).

Selain itu, Jambatan Batang Igan sepanjang 1.8km (RM305 juta) dan Jambatan Kuala Kemena-Jepak sepanjang 1.5km (RM467 juta).

Kesemua jambatan ini dijangka siap sekitar 2023 hingga 2025. Bagaimanapun, secara keseluruhan, di bawah program jaringan jalan pesisir dan JUK ini, terdapat 13 jambatan dengan 10 daripadanya dianugerahkan tender, termasuk jambatan di Sejingkat yang merentasi Sungai Sarawak (di bawah JUK) bernilai RM370 juta sepanjang 1.3km.

Tujuan pembinaan projek JUK adalah untuk melengkapi jaringan jalan pesisir dan Lebuh Raya PanBorneo dengan pembinaan bermula penghujung 2020 dan dijangka siap pada 2025.

Projek ini bermula dari Kota Samarahan, melalui Sadong Jaya, Simunjan, Sebuyau, Kabong, Roban, Tanjung Manis seterusnya ke Pan Borneo.

Laluan lain menghala ke Lingga, Sri Aman dari Sebuyau yang juga terhubung dengan Pan Borneo.

SINGKATKAN MASA PERJALANAN

Apabila siap, ia dijangka memendekkan masa perjalanan dari enam jam kepada dua setengah jam dari Kuching ke Sibu dan sebaliknya.

Di bawah program ini, terdapat 13 pakej kerja melibatkan pembinaan jalan dan jambatan baharu. Enam pakej kerja sedang ditender serta dalam fasa pembinaan. JUK juga membuka tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dan penempatan yang terletak antara jalan pesisir dengan Pan Borneo. Pembinaan Jambatan Sungai Sarawak-Sejingkat bukan hanya mengurangkan kesesakan lalu lintas, malah melengkapkan laluan di sepanjang jalan pesisir.

Jambatan Batang Lassa sepanjang 2.43km menelan kos RM597.58 juta dijangka siap 48 bulan sejak mula dibina pada Julai 2019.

Suara Sarawak