BERCAKAP… Rundi menjawab soalan daripada pemberita pada sidang media hari ini.

KUCHING: Usaha meningkatkan nilai eksport makanan di Sarawak diperkukuhkan dengan memberi penekanan khusus terhadap 11 sub-sektor pertanian utama.

Menteri Pemodenan Pertanian Dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, antara sub-sektor yang berpotensi menjadi sektor pendapatan eksport itu adalah Pembangunan Industri Tanaman Makanan.

Katanya, beberapa tanaman makanan utama iaitu durian, nanas, kelapa, pisang, dan sayur-sayuran bernilai tinggi telah dikenalpasti untuk dibangunkan secara komersial berikutan permintaan pasaran global dan domestik yang tinggi.

“Sehingga kini, 250 hektar durian, 330 hektar pisang, 40 hektar nanas dan 750 hektar kelapa telah diwujudkan.  Malah bagi meningkatkan kawasan pengeluaran tanaman ini, kementerian saya giat meneruskan pembangunan taman agro,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Tambah Rundi, sub-sektor yang turut berpotensi menjadi sektor pendapatan eksport adalah menerusi Program Pembangunan Zon Kekal Pengeluaran Makanan / Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Kementeriannya telah mencadangkan untuk membangunkan tiga TKPM baharu dengan peruntukan RM5 juta, di samping tujuh TKPM dibangunkan di bawah RMK11.

“Tiga lokasi baharu itu ialah pembesaran Kubong Fasa 2 di Limbang, Sg.  Sebiew di Bintulu, dan Tunoh di Kapit.  Anggaran keluasan 3 tapak tersebut adalah seluas 50 hektar yang dijangka disertai lebih 20 orang petani,” ujarnya.

 

Suara Sarawak