SERAH…Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tiga dari kanan) menyerah piala pusingan kepada Datuk Seri Law Kiu Kiong (dua dari kiri).

KUCHING: Seramai 150 orang pemain akan berentap dalam Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa, Piala Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg Edisi Ke-22 bermula 29 November hingga 1 Disember nanti.

Berlangsung di Eastwood Valley Golf & Country Club Miri, ia bakal menghimpunkan pemain daripada 10 negara seperti India, Pakistan, Thailand, Vietnam, Taipei, Filipina, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam dan Malaysia (Sarawak) selaku tuan rumah.

Daripada jumlah tersebut, 100 orang pemain adalah lelaki dan 50 pemain adalah perempuan yang berumur dari 12 hingga 21 tahun.

Pagi tadi berlangsung majlis ringkas penyerahan Piala Pusingan yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dipejabat beliau, Dewan Undangan Negeri (DUN), Petra Jaya.

Ia diserahkan kepada jawatankuasa penganjur terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif, Eastwood Valley Golf & Country Club Miri, Datuk Seri Law Kiu Kiong, Naib Presiden Persatuan Golf Sarawak (SGA), Anthony Tan Hong Chiang dan Setiausaha Agung SGA Persatuan Golf Sarawak Datuk Thomas Tieng Mee Ting.

Suara Sarawak