MUKAH: Kerajaan Sarawak menyenaraikan sebanyak 158 projek di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).

Pengerusi RADDA Datuk Len Talif Salleh berkata, jumlah projek tersebut adalah daripada siri mesyuarat agensi itu dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk tahap keutamaan pembangunan di kawasan terbabit.

“Kami telah mengadakan beberapa sesi perjumpaan bagi menjana idea baharu selain menambah baik proses perancangan berkenaan.

“Penekanan diberikan kepada penyediaan infrastruktur asas luar bandar, di samping merancang beberapa pelan perancangan jangka pendek dan jangka panjang untuk mentransformasikan kawasan luar bandar khususnya kawasan RADDA sebagai usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Pentadbiran Tanjung Manis, di sini hari ini.

Menurutnya, bangunan 16 tingkat bernilai kira-kira RM80 juta yang mula dibina pada 2018 itu menjadi kenyataan apabila pusat pentadbiran kerajaan berdiri tersergam indah di Tanjung Manis.

“Yang kita saksikan adalah hasil perancangan kerajaan melalui pelaksanaan beberapa projek seperti Jambatan Batang Paloh, Batang Igan, dan Batang Lebaan.

“Satu lagi perubahan yang berlaku di Kuala Rajang ialah pembinaan jalan yang menghubungkan Sarikei dan Tanjung Manis merentasi Batang Rajang sepanjang 17 kilometer dari Jalan Pasi Sarikei-Meradong ke Jalan Sibu-Tanjung Manis menelan belanja RM321 juta.

“Projek ini dijangka siap tahun depan dan akan memendekkan perjalanan dari Sarikei ke Tanjung Manis dalam masa 30 minit sahaja,” katanya.

Tambah Adun Kuala Rajang itu, pelbagai industri telah dibangunkan di Tanjung Manis seperti industri perkayuan, industri pembinaan dan pembaikan kapal, industri perikanan laut dalam, Kluster Industri Minyak Sawit (POIC), Terminal Pengedaran Minyak Pusat (CODT), pemprosesan tepung ikan dan industri halal.

Len turut mengutarakan isu kecetekan muara Kuala Rajang yang memerlukan kerja pengorekan kerana boleh menjejaskan laluan kapal, sehingga menyebabkan kesukaran untuk memasuki pelabuhan Tanjung Manis.

Beliau turut menggesa Skim Penempatan Semula (SPS) dilaksanakan bagi menampung keperluan rakyat yang masih menyewa atau belum mempunyai rumah sendiri.

Suara Sarawak