KUCHING: Dalam tempoh empat bulan, kempen Pengumpulan Buangan Elektrik dan Elektronik (BEE) di Sarawak telah berjaya mengumpul bahan buangan sebanyak 175.89 metrik tan.

Lembaga Sumber Asli Dan Alam Sekitar (NREB) berkata, kesemua sisa buangan tersebut dikumpul di seluruh bahagian negeri ini menerusi kempen yang dijalankan setakat 25 Ogos lalu.

“Daripada jumlah tersebut, Bahagian Kuching merekodkan jumlah tertinggi dengan mengumpul sebanyak 106.0 metrik tan dan diikuti Bintulu dengan 17.2 metrik tan.

“Manakala Bahagian Serian berjaya mengumpul sejumlah 11.50 metrik tan, Betong (11.2 metrik tan), Sri Aman (9.2 metrik tan), Miri (6.2 metrik tan), Sarikei (5.3 metrik tan), Kapit (4.6 metrik tan), Sibu (3.0 metrik tan), Samarahan (1.8 metrik tan),” kata NREB dalam kenyataan, hari ini.

Menurut NREB, kempen tersebut mula dilancarkan pada 23 April lalu oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk Wee Hong Seng.

Dalam pada itu, NREB memberitahu pihaknya dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan Kerjasama Majlis Perbandaran Sibu akan mengadakan kempen pengumpulan BEE di Wisma Sanyan, Sibu pada 26 hingga 27 November depan pada jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

Kempen tersebut merupakan usaha mengumpul peralatan elektrikal dan elektronik di rumah, pejabat, industri atau premis yang telah rosak, usang dan tidak dapat digunakan lagi.

Ia bagi membolehkan pelaksanaan sistem pengumpulan dan pembuangan barangan elektrik dan elektronik dapat dijalankan lebih selamat, tersusun dan berkesan dengan menggalakkan orang ramai membuang barangan mereka di tempat yang disediakan.

Ini kerana buangan bahan elektrik dan elektrikronik adalah bertoksik serta berpotensi mengancam kesihatan selain merosakkan alam sekitar.

Suara Sarawak