KUCHING: Sarawak mengumumkan cuti umum pada 18 dan 19 November ini bagi memudahkan rakyat menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Perkara itu dimaklumkan oleh Pejabat Premier Sarawak menerusi sebuah kenyataan di sini, hari ini.

“Kerajaan Sarawak telah memutuskan untuk mengisytiharkan dua hari cuti umum pada 18 dan 19 November 2022 sempena Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022.

“Ini berikutan pengumuman Kerajaan Persekutuan semalam yang memberi kesan yang sama untuk membenarkan pengundi pulang ke pusat mengundi masing-masing untuk mengundi,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam satu sidang media di Tanjung Manis mengisytiharkan 18 November ini sebagai cuti umum bagi memberi laluan kepada rakyat negeri ini menunaikan proses demokrasi.

Beliau berkata ini penting bagi memudahkan perjalanan demokrasi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan pada Sabtu ini.

Suara Sarawak