SIJIL… Saraya (tengah) menyampaikan sijil kepada Azahari (kanan). Turut kelihatan Razip pada Pelancaran Logo dan Pin Tanda (Lapel Pin) MFTG; Penyampaian Sijil Pengiktirafan MFTG Sarawak dan Penyampaian Sijil Penyertaan Kursus Mosvi, di Damai Beach Resort, dekat sini hari ini.

KUCHING: Seramai 27 pemandu pelancong berlesen di bawah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dari Sarawak mendapat pengiktirafan sebagai Pemandu Pelancong Mesra-Muslim (MFTG) pertama di negeri ini.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kumpulan tersebut juga berjaya dilatih pada 12 hingga 14 September lalu.

Menurutnya, pengiktirafan itu juga menjadikan jumlah keseluruhan MFTG di Malaysia terkini seramai 113 orang, termasuk yang baru sahaja menamatkan kursus di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Mereka juga didedahkan dengan pelbagai pengetahuan seperti isu dan cabaran berkenaan perkara-perkara asas dalam halal, fiqh dan prinsip syariah Islam termasuk memastikan proses komunikasi yang efektif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Ketua Setiausaha Motac Datuk Saraya Arbi sempena Pelancaran Logo dan Pin Tanda (Lapel Pin) MFTG; Penyampaian Sijil Pengiktirafan MFTG Sarawak dan Penyampaian Sijil Penyertaan Kursus Pemandu Lawatan Masjid (Mosque Visit Guide – Mosvi), di Damai Beach Resort, dekat sini, hari ini.

Menjelas mengenai logo MFTG, Nancy memaklumkan ia merupakan satu inisiatif penjenamaan oleh Pusat Pelancongan Islam (ITC) untuk memudahkan orang awam dan industri mengenali para pemandu pelancong yang terlatih.

Hadir sama Ketua Pengarah ITC Datuk Dr Mohmed Razip Hasan; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Motac Norazman Othman; Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Sarawak (STGA) Abang Azahari Abang Zaidan serta wakil yang lain.

RAKAMAN KENANGAN… Saraya (berdiri lima kiri) merakam gambar kenangan bersama-sama dengan tetamu kehormat dan penerima sijil Penyertaan Kursus Mosvi.

Suara Sarawak