KUCHING: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan 30 Ahli Dewan Rakyat daripada Barisan Nasional (BN) menghadap secara individu di Istana Negara pada jam 10.30 pagi esok.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, proses ini bertujuan agar Seri Paduka Baginda dapat membuat keputusan bagi melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti sebagai Perdana Menteri.

“Adalah dimaklumkan lanjutan daripada sesi menghadap ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) pada jam 4.30 petang ini di Istana Negara, proses seterusnya ialah sesi menghadap 30 ahli Dewan Rakyat daripada BN.

“Sesi menghadap secara individu ini dijadualkan berlangsung pada jam 10.30 pagi esok di Istana Negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, proses itu bagi membolehkan lantikan Perdana Menteri yang mendapat manjoriti Ahli Dewan Rakyat seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat agar bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai.

“Rakyat juga diseru untuk bersama mendoakan semoga proses tersebut dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan tanah air yang tercinta,” tambahnya.

Suara Sarawak