BERCAKAP… Julaihi bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Mini Rindok Digital di Dewan Pembangunan Sebuyau, hari ini. Foto: GHAZALI GHAZALI

SEBUYAU: Perbadanan Digital Ekonomi Sarawak (SDEC) dalam proses memasang peralatan komunikasi untuk 300 menara yang sudah disiapkan oleh Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, ia melibatkan pelaksanaan fasa pertama di bawah projek Telekomunikasi Luar Bandar SMA (Smart).

“Projek fasa pertama menara telekomunikasi tersebut kini dikendalikan SDEC untuk proses pemasangan alat telekomunikasi.

“Kita berharap selepas proses tersebut kesemua menara bersedia untuk memberikan pancaran ke kawasan yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mini Rindok Digital di Dewan Pembangunan Sebuyau, dekat sini, hari ini.

Tambahnya, untuk melaksanakan projek berkenaan mereka juga berhadapan dengan pelbagai cabaran dan meminta rakyat memahami perkara tersebut.

“Projek ini masih berjalan, agensi pelaksana juga sedang bekerja bertungkus-lumus menyiapkan program di tapak menara tersebut,” ujarnya.

Menara telekomunikasi di bawah Projek Smart 300 dilengkapi dengan teknologi Multi-Operator Core Network (MOCN).

Dalam hal berkaitan, Julaihi yang hadir semalam turut menyempurnakan penyampaian tablet kepada 60 murid golongan B40 dari 18 buah sekolah rendah di kawasan ini.

Tablet itu juga diagihkan oleh SMA sempena Program Rindok Digital, hari ini.

RAKAMAN KENANGAN… Julaihi merakam gambar kenangan bersama-sama tetamu kehormat dan para pelajar yang menerima tablet. Foto: GHAZALI GHAZALI

Suara Sarawak