BINTULU: Setakat jam 1.30 petang, peratusan keluar mengundi bagi Parlimen Bintulu mencatatkan 41.6 peratus.

Peratusan keluar mengundi dijangka terus meningkat susulan faktor cuaca yang agak mendung dan cuti umum.

Tinjauan di beberapa pusat pembuangan undi menyaksikan keadaan tenang dengan orang ramai mula berbaris untuk menunaikan tanggungjawab seawal jam 7.30.

Sementara itu, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan merangkap Adun Samalaju Datuk Majang Renggi dan isteri, Datin Evelyn Ensanggai menunaikan tanggungjawab di SK Kampung Tegageng, Suai pada jam 8 pagi, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak yang juga Adun Kemena, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom dan isteri, Datin Sri Loreta Sawot membuang undi di SJK (Cina) Chung San di Sebauh sekitar jam 8.47 pagi manakala Adun Jepak Datuk Talib Zulpilip membuang undi di SK Bintulu pada jam 9 pagi.

Parlimen Bintulu merangkumi empat Dun iaitu Jepak, Kemena, Tanjong Batu dan Samalaju dengan bilangan pengundi berdaftar sebanyak 113,599 orang.

Pilihan Raya Umum ke-15(PRU-15) bagi Parlimen Bintulu menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara calon Gabungan Parti Sarawak(GPS), Parti Tindakan Rakyat (DAP) dan Perikatan Nasional(PN).

Penyandang lima penggal kerusi Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing (GPS) daripada Parti Demokratik Progresif (PDP) akan ditentang calon DAP, Chiew Chan Yew dan Duke Janteng dari PN mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia(BERSATU).

Pada PRU-14 menyaksikan presiden PDP yang bertanding atas tiket BN menang dengan majoriti 7,022 undi selepas memperoleh 27,076 undi menewaskan pencabarnya, Chiew Chan Yew dari DAP yang memperoleh 20,054 undi sementara calon Parti Reformasi Sarawak, Chieng Lea Phing memperoleh 328 undi sekali gus hilang wang deposit.

Suara Sarawak