SIBU: Seramai 597 orang pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi awal pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili ketika ditemui di pekarangan Wisma Pengaman IPD Sibu selepas menunaikan tanggungjawabnya bersama anggotanya hari ini berkata, proses pengundian awal melibatkan anggotanya diadakan di tiga lokasi membabitkan saluran tiga saluran iaitu Pelawan, Nangka dan Bawang Assan.

“Lebih kurang dengan kekuatan pegawai kanan dan anggota khususnya untuk IPD Sibu, 597 orang akan menunaikan tanggungjawab pagi ini yang diadakan lebih awal di Wisma Pengaman IPD Sibu dan di Balai Polis Sibu Jaya.

ZULKIPLI (tiga kanan) bersama-sama anggotanya selepas selesai membuang undi.

“Secara keseluruhan untuk kita di IPD Sibu ini ada tiga saluran pagi ini proses pengundian awal bermula jam 8 pagi sehinggalah jam 5 petang,” ujarnya.

Ditanya sama pengundian awal itu adalah melibatkan anggota yang ada kelainan upaya (OKU), beliau berkata, “Tidak ada. Semua anggota sihat sejahtera untuk pegawai kanan dan anggota kita khususnya sepertimana saya jelaskan tadi kekuatan khusus di IPD Sibu ini,” tegas beliau.

Menurut Zulkipli lagi, undi awal hanya melibatkan pegawai kanan dan anggota sahaja tidak termasuk keluarga tetapi untuk Pasukan Gerakan Am (PGA) mereka bersama-sama keluarga.

“Secara keseluruhannya untuk kita di IPD Sibu ini seramai 597 orang akan menunaikan tanggungjawab,” dedahnya.

Ditanya mengenai peraturan baharu yang diperkenalkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentang larangan tidak boleh menggunakan telefon bimbit di bilik pembuangan undi, Zulkipli menjelaskan pihaknya tidak mempunyai masalah dengan peraturan baharu itu.

“Ini kita perlu ikut apa jua arahan daripada SPR ketentuan undang-undang tersebut adalah prosedur dan SOP pihak SPR,” katanya.

Dalam proses pengundian awal berasingan, beliau menjelaskan, seramai 208 anggota PGA terlibat dalam proses pengundian awal di Kem Lanang.

Katanya, selain pusat pengundian awal di Wisma Pengaman IPD Sibu dua lagi lokasi iaitu Dewan Badminton Balai Polis Sibu Jaya dan Dewan Serbaguna Batalion Ke-10 PGA Kem Lanang juga turut dibuka pada jam 8 pagi hingga jam 5 petang.

Tambahnya, kesemua peti undi bagi pengundian awal itu akan disimpan dengan selamat dan akan dibawa ke pusat pengiraan undi yang ditetapkan SPR Sabtu ini.

Lokasi pengundian awal melibatkan Balai Polis Sibu Jaya dan Kem Lanang adalah untuk saluran Dudong dan Bukit Assek.

Turut serta membuang undi ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Dr Collin Babat.

Suara Sarawak