Datuk Seri Fatimah Abdullah

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti telah menerima sebanyak 60 permohonan Dokumen Sementara Individu Tanpa Kewarganegaraan Sarawak (DSITKS) sejak dibuka pada 1 November lalu.

Menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, dokumen sementara yang dikeluarkan oleh Kerajaan Sarawak itu adalah untuk individu atau kanak-akan tanpa kewarganegaraan berumur 21 tahun ke bawah yang lahir di negeri ini.

“Tempoh sah laku DSITKS adalah selama dua tahun dari tarikh kelulusan permohonan dan ia boleh dilanjutkan sekiranya pemegang masih belum memperoleh kewarganegaraan di bawah Artikel 15A Perlembagaan Persekutuan.

“Dokumen ini perlu dikembalikan kepada kementerian sebaik sahaja pemegang memperolehi kewarganegaraan dan kad pengenalan,” katanya pada sesi penggulungan kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Menurutnya, dokumen tersebut bagi memudahkan pemegangnya memperoleh akses kepada pendidikan dan kesihatan di negeri ini, namun ia tidak memberi hak atau janji untuk pemberian kewarganegaraan Malaysia.

Dalam hal berlainan, Fatimah memberitahu Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) telah melaksanakan sebanyak 85 operasi bersepadu untuk menyelamatkan orang papa di seluruh negeri pada tahun ini.

Suara Sarawak