TIADA BERCUKAI..Anggota URM memeriksa belakang lori yang menyembunyikan kira-kira 700 kotak minuman keras.

MIRI: Unit Risikan Marin (URM) Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Miri, Sarawak merampas kira-kira 700 kotak minuman keras tidak bercukai bernilai RM112, 035.84.

Ketua Polis Daerah Miri, Alexson Naga Chabu berkata rampasan itu dilakukan sepasukan lima pegawai dan anggota dalam Ops Kontraban kira-kira 4.30 petang semalam.

“Pasukan telah menahan seorang lelaki tempatan yang memandu sebuah lori di tepi Jalan Miri-Bintulu, Sepupok Batu Niah.

“Hasil pemeriksaan di bahagian belakang lori yang bertutup kanvas, anggota menjumpai minuman keras yang tidak bercukai jenama Calsberg lebih kurang 700 kotak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, pemandu lori tersebut juga gagal mengemukakan sebarang dokumen sah daripada pihak Kastam Diraja Malaysia.

“Minuman keras tersebut disyaki dibawa tanpa cukai Kastam dan telah melakukan kesalahan dibawah Akta Kastam 1967.

“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk sebuah lori jenis Nissan dianggarkan bernilai RM 282,035.84,” ujarnya.

Katanya, semua barang rampasan dan tangkapan diserah kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

Suara Sarawak