BINTULU: Sebanyak 77 penduduk dari 25 keluarga di lima kawasan yang terjejas akibat banjir di Bintulu ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Suarah, tengah malam tadi.

ANGGOTA APM membantu seorang penduduk berpindah ke PPS.

Menurut Laporan Terkini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBS) Monsun Timur Laut (MTL) 2022/2023 yang dikeluarkan pagi ini, mereka terdiri daripada penduduk Kampung Kemunting, Kampung Asyakirin, Desa Damai, Kampung Baru dan Bukit Orang.

SEKITAR operasi memindahkan mangsa banjir ke PPS Dewan Suarah Bintulu, malam tadi.

Difahamkan, kawasan terbabit mula dinaiki air sekitar 9.05 malam tadi disebabkan hujan lebat berterusan sejak malam sebelumnya.

SEKITAR operasi memindahkan mangsa banjir ke PPS Dewan Suarah Bintulu, malam tadi.

Perkembangan terkini hasil pemantauan lanjut di Bintulu sekitar 7 pagi tadi, keadaan semasa masih menunjukkan trend air menaik dengan hujan lebat.

PPS Dewan Suarah Bintulu yang dibuka tengah malam tadi.

Kesemua tujuh lokasi iaitu Kampung Kemunting, Gem Park, Tanjung Batu, Kampung Asyakirin Fasa Satu dan Dua, Rumah Panjang Banyang Batu Lapan Jalan Bintulu-Miri, Kampung Setinggan Sungai Sibiew dan Kampung Baru juga menyaksikan limpahan air banjir turut memasuki rumah.

Sementara di Sibu, air semakin surut dengan cuaca baik di enam lokasi seperti Rumah Panjang Joseph Salim, pesisir Sungai Salim, Jalan Salim, Jalan Utama Salim Stabau, Lot 217 Jalan Stabau dan Lot 211 Jalan Stabau.

Manakala keadaan normal dilaporkan di Rumah Panjang Gerinsam, Kampung Pedada, Rumah Panjang Marta Lu, pesisir Sungai Assan dan Tanjung Latap.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sehingga kini memantau 30 lokasi berisiko banjir di seluruh Sarawak.

Suara Sarawak