KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meminta syarikat Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) untuk mempertimbangkan cadangan memasukkan pelajar latihan industri di syarikat itu.

Beliau berkata, perubahan itu perlu kerana syarikat yang mempunyai ciri profesionalisme adalah syarikat yang memiliki tenaga kerja yang profesional terutamanya dalam penggunaan teknologi pada masa kini.

“Sebab itu saya cadang syarikat DUBS mengambil pelajar praktikal dari Unimas, Universiti Teknologi Swinburne mahupun Universiti i-Cats kerana mereka ini terpelajar dan mahir dalam teknologi dan kaedah baharu, termasuk pemasaran.

Abang Johari ketika bercakap dalam ucapannya pada Majlis makan Malam Amal DUBS cawangan Kuching yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam tadi. (RAMIDI SUBARI)

“Jika pelajar ini berkebolehan, mereka boleh diserap untuk bekerja dan anda akan mendapat pakej terbaik iaitu memiliki syarikat dan pekerja profesional sekali gus membolehkan syarikat ini dikendalikan secara profesional,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Makan Malam Amal DUBS cawangan Kuching yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam tadi.

Dengan memiliki pekerja profesional seperti ini jelas Abang Johari, ia juga akan mengelakkan Sarawak menghadapi banyak projek sakit.

Jelasnya di Sarawak ini, banyak projek yang disenaraikan sebagai projek sakit seperti di Limbang dan Baram yang acap kali bertukar tangan.

“Contohnya seperti Dubs ini sendiri, jika anda mengambil pelajar yang profesional ini dan dilatih menjadi pengurus dan anda sendiri menjadi pengurus projek, maka projek dan tender akan berjalan dengan lancar.

“Tidaklah projek ini dijual kepada orang lain yang bukan Bumiputera…ini akan mengurangkan projek sakit di Sarawak dan kita dapat mendapatkan kembali kepercayaan serta keyakinan orang ramai dengan kerajaan,” tegasnya.

Suara Sarawak