Datuk Dr Abdul Rahman Ismail ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Bengkel E-Dagang di Kuching

KUCHING: Peladang muda disaran untuk mengadaptasikan teknologi baharu sebagai nilai tambah kepada medium perniagaan.

Ia termasuk menjana pendapatan menerusi teknologi digital selari dengan dasar ekonomi baharu Sarawak.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata pertanian moden kini menelusuri transformasi teknologi digital.

Ia sebagai pengadaptasian teknologi terkini berbanding kaedah konvensional seperti penggunaan internet pelbagai benda (IoT) dan fertigasi.

Justeru, generasi muda katanya perlu mengambil peluang ini sebagai punca pendapatan baharu.

“Sekarang zaman sudah berubah, di mana pertanian tidak lagi dianggap sekadar untuk menyara kehidupan, tetapi ia dijadikan sebagai sumber pendapatan kepada usahawan yang akhirnya berubah sebagai industri,” katanya ketika majlis penutupan Bengkel Peladang E-Dagang Peladang Muda 2022 Zon Selatan di Hotel Raia, di sini, semalam.

Jelas Abdul Rahman, ia selari dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan sektor pertanian sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negeri dan Malaysia.

“Inilah usaha kita agar golongan berkaitan dapat menjana pendapatan bulanan sekurang-kurangnya RM6,000 satu bulan,” katanya.

Datuk Dr Abdul Rahman Ismail menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta bengkel

 

Rakam kenangan.. Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan penceramah Bengkel E-Dagang Peladang Muda, Dr. Keling Stevenson Boniface Ancheh bersama-sama semua peserta bengkel yang lain

Suara Sarawak