KOTA SAMARAHAN: Program seperti Kejohanan badminton Sarawak Age Group 2022 perlu diberi keutamaan dalam mengembangkan sukan badminton dalam kalangan belia, kata Timbalan Menteri Infrastruktur Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Ir Aidel Lariwoo.

Beliau berkata, kejohanan anjuran Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) itu selaras dengan usaha Sadong Jaya yang kini giat meningkatkan tahap penglibatan dan kemenjadian belia di kawasan tersebut dalam sukan badminton.

“Perancangan kita kepada pelajar-pelajar terdiri daripada sekolah menengah ataupun pelajar peringkat Universiti yang berada di luar bandar khususnya di Sadong Jaya sedang dipertingkatkan.

JUARA…Aidel (tengah) bersama para pemenang dan staf penganjur dalam majlis penyampaian hadiah kepada peserta yang memenangi kejohanan.

“Sadong Jaya sememangnya sudah mula, dan kini kita sudah mempunyai fasiliti sukan badminton yang baik di samping memperkenalkan program kejurulatihan dalam melatih pemain-pemain remaja dalam sukan badminton,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program tersebut, di sini, hari ini.

Aidel yang juga Adun Sadong Jaya berkata, pihaknya komited dan berharap peminat badminton khususnya golongan belia dapat memanfaatkan peluang kemudahan sedia ada yang baik dan teratur dengan sebaik mungkin.

Kejohanan badminton Sarawak Age Group dan di bawah pengelolaan Persatuan Badminton Samarahan (PerBas) itu melabuhkan tirainya, hari ini.

BERAKSI…Aksi final Beregu lelaki bawah 18 tahun.

Ia sekali gus, menyaksikan seramai 264 peserta lelaki dan wanita berumur bawah 18 tahun dari seluruh Sarawak terlibat bagi memburu gelaran dalam 10 kategori acara yang dipertandingkan.

Pertandingan yang berlangsung bermula 25 hingga 27 November itu memperagakan 10 kategori acara bermula dengan kategori perseorangan bawah 12 tahun (lelaki dan wanita) yang disertai 67 peserta.

Diikuti empat kategori masing-masing di bawah 14 tahun dan bawah 18 tahun (lelaki, wanita, beregu lelaki, beregu wanita) disertai seramai 197 peserta.

Suara Sarawak