KUCHING: Yang di-pertuan Agong akan mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu untuk membuat keputusan bagi pelantikan Perdana Menteri.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan perkenan untuk Istana Negara menganjurkan satu Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara esok.

“Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini adalah untuk Seri Paduka Baginda mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu bagi baginda membuat keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan negara dan rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu itu adalah susulan daripada sesi-sesi menghadap baginda dengan wakil-rakil Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) secara berasingan di Istana Negara pada pagi hari ini.

Sesi-sesi menghadap itu adalah lanjutan daripada sesi menghadap ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional secara berasingan bermula pada jam 4.30 petang semalam.

Menjelas lanjut, Ahmad berkata sesi menghadap ketua-ketua gabungan adalah susulan daripada hasil pengesahan calon-calon Perdana Menteri yang telah dimaklumkan oleh ketua parti-parti dan ketua gabungan parti-parti politik kepada Istana Negara semalam, didapati bahawa tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Katanya proses tersebut adalah selaras dengan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan dan bertujuan supaya Yang di-Pertuan Agong dapat membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

Justeru, katanya Yang di-Pertuan Agong menyeru agar seluruh rakyat dan semua pihak untuk terus beristiqomah dan bertenang sehingga proses untuk membentuk kerajaan baharu selesai.

“Sesungguhnya masa depan negara tumpahnya darah kita adalah terlalu berharga dan wajar kita rencanakan dengan penuh cermat serta teliti.

“Rakyat telahpun membuat keputusan untuk memilih wakil mereka, maka terserah kepada wakil rakyat untuk mencari penyelesaian bagi mengurai kemelut yang membelenggu rakyat jelata,” katanya.

Suara Sarawak