KUCHING: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menitahkan kedua-dua ketua gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) untuk menghadap baginda di Istana Negara pada jam 4.30 petang, hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata, keputusan itu dibuat selepas tiada Ahli Dewan Rakyat memperoleh kepercayaan majoriti mudah 112 untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

“Proses pengesahan bertujuan supaya baginda dapat membuat keputusan bagi melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri, selaras Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Setelah dipersembahkan hasil pengesahan calon Perdana Menteri, adalah didapati bahawa tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, seperti diperuntukkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Memandangkan tiada ahli Dewan Rakyat mendapat kepercayaan majoriti mudah, maka Seri Paduka Baginda menitahkan perkenan untuk ketua gabungan PH dan PN menghadap pada jam 4.30 petang ini di Istana Negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, Yang di-Pertuan Agong turut meminta supaya rakyat bersabar dan bertenang hingga proses pembentukan kerajaan baharu serta pencalonan Perdana Menteri ke-10 selesai.

“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat bersama-sama mendoakan agar negara dan rakayt sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” katanya.

Suara Sarawak