KUCHING: Alat pemadam api di pasar basah Batu 7 bukan hilang tetapi diambil oleh kontraktor Majlis Perbandaran Padawan (MPP) untuk servis tahunan.

Pengerusi MPP Lo Khere Chiang berkata kesemua alat pemadam api itu diambil kira-kira dua minggu lalu.

“Sebenarnya semua alat pemadam api itu telah diambil oleh kontraktor untuk servis tahunan dan ia adalah amalan sepanjang tahun untuk memastikan alat pemadam api itu berfungsi dengan baik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP), Michael Kong yang mendakwa semua alat pemadam api di pasar basah Batu 7 hilang.

Menurut Lo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, terdapat enam unit alat pemadam api di pasar basah Batu 7, dengan empat unit adalah jenis serbuk kering ABC bertekanan 9 kilogram (kg) dan dua unit adalah jenis CO2 bertekanan 2 kg.

Katanya MPP melalui kontraktornya juga menyediakan dua unit sebagai pengganti, yang diletakkan di pasar basah itu sementara menunggu yang asal diservis supaya kekal optimum pada setiap masa untuk sebarang kecemasan.

Menjelas lanjut, Lo berkata pihaknya juga dimaklumkan oleh kontraktor terbabit bahawa semua alat pemadam api itu telah diservis dan sedang menunggu pengeluaran sijil bomba.

“Selepas mendapat sijil bomba yang dijangka minggu ini, kontraktor akan menyimpan semula alat pemadam api itu di dalam kotak merah yang disediakan di pasar basah Batu 7,” katanya.

Beliau menegaskan adalah sentiasa menjadi dasar dan amalan MPP untuk memastikan alat pemadam api sentiasa diselenggara sepanjang masa, dalam keadaan baik dan berfungsi dengan baik untuk digunakan semasa sebarang kecemasan.

Suara Sarawak