Alexander Nanta Linggi Gambar fail

KUCHING: Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sekali lagi berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kapit apabila menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurutnya, beliau sangat bangga dan berpuas hati dengan keputusan tersebut.

“PRU-15 ini merupakan kali keenam bagi saya dengan majoriti yang amat memuaskan.

“Jadi, perjalanan masa kempen berjalan lancar dan tiada isu atau masalah yang berlaku,” katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam tadi.

Mengenai PRU-15, beliau memaklumkam ia sangat berjaya kerana keputusan yang baik.

“Ini tidak dapat dinafikan, tidak boleh diragui kerana majoriti yang besar. Tahniah kepada semua,” ujarnya.

Keputusan PRU-15 menyaksikan Nanta menang dengan 16,522 undi melibatkan 12,402 majoriti sekali gus berjaya menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Pangkas Unggang yang hanya meraih 4,120 undi dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) meraih 1,357 undi.

Terdahulu, sebelum menceburi bidang politik pada 1983 dengan menyertai PBB, beliau merupakan ahli perniagaan, setelah berkhidmat sebagai Pengerusi syarikat perkapalan Swee Joo Bhd.

Rekod tidak pernah kalah bertanding di kerusi Parlimen Kapit sejak tahun 1999, Alexander menerima anugerah Panglima Jasa Negara (PJN) pada tahun 2010, yang membolehkan beliau menggunakan gelaran kehormat Datuk.

Pada 16 Mei 2013, selepas kemenangannya dalam pilihan raya 2013, beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah di bawah kabinet baru bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pada PRU-14, Alexander atas tiket Barisan Nasional menang dengan mendapat 14,302 undian ketika menentang Paren Anak Nyawi daripada parti Pakatan Harapan yang mendapat 3,823 undi. Majoriti undi sebanyak 10,479.

Suara Sarawak