SEDIA GEGAR DEBAK….Barisan artis yang akan menjayakan persembahan itu kelak.

SARIKEI: Pentas khas di Riveria Sports Centre, Debak bakal menjadi tumpuan peminat hiburan tempatan pada malam Rabu ini (16 November).

Ia bakal menghimpunkan artis popular tanah air termasuk artis tempatan Sarawak bagi menjayakan konsert sempena Majlis Penutupan Mini Karnival Sukan Debak 2022.

Koordinator Acara Sukan, Saiful Hanizam Suhaini memberitahu, vokalis kumpulan Spring, Ameng antara yang turut menjayakan konsert tersebut.

Selain itu katanya, artis tempatan kelahiran Sarawak yang lain seperti Nuhijah Yahya, Firdaus Materang, Linda dan Ricky Anderson turut hadir memeriahkan konsert berkenaan.

“Persembahan akan bermula pada jam 7 malam dan orang ramai diseru untuk hadir beramai-ramai bagi memeriahkan suasana pada malam itu kelak,” ujar Saiful kepada Suara Sarawak.

Beliau percaya himpunan lagu-lagu yang bakal didendangkan semua artis yang terlibat bakal dapat mengubat rindu mereka.

Dijangkakan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah akan turut hadir menyaksikan persembahan kesemua artis pada malam itu.

Suara Sarawak