Presiden PKR Datuk Sri Anwar Ibrahim bersalaman dengan penyokongnya sebelum menghadiri sidang media di Miri, hari ini.

MIRI: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Sri Anwar Ibrahim memohon pertimbangan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menarik balik larangan masuk ke atas beberapa pemimpin utama parti itu semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU- 15).

Katanya, ia bagi membolehkan mereka membantu calon-calon parti itu di Sarawak sepanjang tempoh berkempen kelak.

“Saya harap Abang Johari memberi kelonggaran larangan itu supaya pemimpin parti kita boleh datang ke Sarawak semasa kempen pilihan raya.

“Ada beberapa nama yang dihalang masuk termasuk Rafizi Ramli (Timbalan Pengerusi PKR), Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan saya harap Abang Johari boleh mempertimbangkan untuk menggugurkan beberapa sekatan itu,” katanya.

Beliau berkata, parti itu tidak mahu ada sebarang isu atau konflik dengan Kerajaan Sarawak.

Menyentuh mengenai beberapa ahli parti atau penyandang terdahulu yang digugurkan daripada senarai calonnya untuk PRU-15, Anwar berkata, pemilihan muka baharu yang kebanyakan menampilkan calon muda adalah penting untuk membantu parti itu.

“Malah, mereka mempunyai peluang yang lebih baik untuk memenangi kerusi yang dipertandingkan,” tambahnya.

Untuk PRU-15 ini, penyandang dua penggal untuk Miri, Dr Michael Teo telah digugurkan daripada senarai dan sebaliknya kepimpinan parti menggantikannya dengan pendatang baharu, seorang peguam berusia 31 tahun, Chiew Choon Man.

Suara Sarawak