KUCHING: Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu membuktikan kemampuannya untuk membawa Malaysia ke arah yang lebih baik.

Penganalisis Politik Prof Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata, pengalaman Anwar sebagai pembangkang dalam mengkritik kerajaan lebih 20 tahun kini harus dibuktikan dengan pertabalannya selaku Perdana Menteri baharu Malaysia ke-10, hari ini.

“Anwar selama ini banyak melontarkan kritikan terhadap kerajaan terdahulu dan kini beliau harus ‘cakap serupa bikin’ demi mengotakan janji dan pelan pembangunannya sebagai calon yang diberi kepercayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta pemberita untuk mengulas mengenai pelantikan Anwar sebagai PM-10 baharu.

Fadzil menambah, Anwar kini tiada sebab lagi untuk menuding jari atau menyalahkan mana-mana pihak sekiranya gagal untuk mengemudi kerajaan baharu itu kelak.

Dalam perkembangan sama, beliau percaya penglibatan Anwar dalam politik negara sejak berdekad lalu sudah cukup memadai untuk beliau melaksanakan kesemua strategi pembinaan dan kemajuan negara demi memperkasakan kebajikan rakyat.

Beliau bagaimanapun menjangkakan kepimpinan Anwar dalam mengemudi kerajaan akan menghadapi cabaran selaras dengan gelombang politik yang dilihat tiada kesudahan.

Suara Sarawak