PERMATANG PAUH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa memotong barisan ketika mahu membuang undi di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti, di sini hari ini.

Anwar tiba di pusat pembuangan undi itu jam 9 pagi pada mulanya dilihat berbaris bersama ratusan pengundi lain di luar bilik pengundian.

Bagaimanapun kehadiran Presiden PKR itu yang mendapat tumpuan lebih 50 pengamal media termasuk wartawan luar negara telah menyebabkan kawasan itu sesak hingga menggangu pengundi lain yang sedang menunggu giliran.

Bagi menyuraikan kesesakan, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San mendapatkan kebenaran daripada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membenarkan Anwar mengundi dahulu.

Calon PH Parlimen Tambun itu kemudiannya dilihat meminta maaf kepada penggundi yang sedang berbaris kerana terpaksa berbuat demikan bagi memastikan keselesaan orang ramai dan kelancaran proses pengundian.

“Selepas selesai mengundi saya akan bergerak ke Tambun untuk meninjau proses pengundian dan berjumpa dengan penyokong saya di sana,” katanya.

Anwar hanya mengambil masa tidak sampai lima minit untuk proses pengundian sebelum beredar dan beramah mesra bersama orang ramai di pusat pembuangan undi terbabit.

Kerusi Permatang Pauh menyaksikan pertembungan empat penjuru yang mana penyandang kerusi berkenaan, Nurul Izzah Anwar, 42, (PH) akan berdepan dengan pesaingnya, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said,53 (BN), Muhammad Fawwaz Mat Jan,39 (Perikatan Nasional) dan Mohamad Nasir Othman, 64 (GTA- Pejuang).

Nurul Izzah sebelum ini mengekalkan penguasaan PKR di Parlimen Permatang Pauh sejak 1998 apabila memenangi PRU14 dengan majoriti 15,668 undi.

Beliau memperolehi 35,534 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Zaidi Mohd Said yang memperolehi 19,866 undi dan Afnan Hamimi Taib Azamudden dari Pas (14,428 undi).

Kerusi tersebut sebelum ini disandang sama ada Anwar atau isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sejak tahun 1982.

Suara Sarawak