Atlet Sarawak tawan dunia

DUNIA sukan Sarawak diwarnai kejayaan di pelbagai peringkat kejohanan, meskipun semasa pandemik Covid-19 yang memberi tamparan hebat kepada semua atlet.

Namun, situasi itu tidak menjejaskan fokus atlet untuk mencipta kejayaan.

Ia dibuktikan menerusi kejayaan ramai jaguh sukan Sarawak.

Datuk Pandelela Rinong misalnya ialah raju terjun negara. Beliau pernah mencetus fenomena luar biasa dalam acara sukan terjun, tidak hanya di peringkat kebangsaan malah mencakupi seluruh pelosok dunia.

Banyak kejayaan diperoleh sepanjang mewakili negara, sekali gus meletakkan nama Sarawak di peta dunia.

Lantas, sebagai menghargai jasa dan sumbangannya, namanya diabadikan di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya. Sementara itu, dua jaguh angkat berat dari Sarawak iaitu Bonnie Bunyau Gustin dan Jong Yee Khie yang cemerlang apabila masingmasing meraih pingat emas dan perak pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Pencapaian yang cukup hebat kerana sebelum kejohanan berlangsung, tiada siapa menduga kedua-dua atlet ini mampu menggegar pentas sukan dunia.

Lebih mencuri tumpuan, kehebatan berterusan dipamerkan Bonnie Bunyau Gustin yang meraih pingat emas dalam Kejohanan Angkat Berat Dunia, Tbilisi Georgia 2021.

Kejayaan hebat turut ditunjukkan oleh dua atlet bina badan Sarawak iaitu Buda Anchah dan Dr Malvern Abdullah dalam Kejohanan Bina Badan Dunia Ke-12 pada 2021 yang berlangsung di Taskent, Uzbekistan.

Kejayaan Buda paling mencuri tumpuan.

DR MALVERN (kiri) dan Buda Anchah.

Meraih tiga pingat perak dalam kategori 70 kg, Master 80 kg (40 hingga 49 tahun) dan kategori berpasangan.

Pingat perak turut diraih oleh Dr Malvern Abdullah dalam kategori 60 kg.

Di samping itu, beberapa pingat emas yang berjaya diraih atlet Muaythai Sarawak dalam Kejohanan Muaythai Dunia Persekutuan Antarabangsa Muaythai Amatur (IFMA) 2021 meneruskan rentak cemerlang atlet Sarawak.

Pingat emas itu diraih oleh Muhammad Mikail Ghazali (32 hingga 36 kg) dan Texas Jeremy Lo (44 kg) selain pingat gangsa daripada Elias Ghazali Zulfikar (60 kg).

Acara tinju sememangnya memperlihatkan kecemerlangan luar biasa.

Petinju muda Sarawak semakin meningkat naik, Daeloniel Mcdelon Bong atau lebih dikenali sebagai Kilat Boy berjaya mencipta kejutan muncul juara Kejohanan Tinju Profesional Pakistan 2022, menumbangkan wakil tuan rumah, Sikender Abbassi menerusi tumbukan TKO (Technical Knock Out).

Kejayaan atlet tinju lain turut membanggakan dalam Kejohanan Tinju (lelaki dan wanita) Piala Malaysia 2021 di Kompleks Sukan, Majlis Sukan Negara (MSN) Nilai Negeri Sembilan.

Lima pingat berjaya diperoleh iaitu satu emas, dua perak dan dua gangsa.

Pingat emas disumbangkan Daeloniel Mcdelon Bong, kategori 60 kg. Dua pingat perak masingmasing disumbangkan Mohd.

Helmi Cheng Mohd. Firdaus Chieng (71 kg) dan Elia Zonia Augustine Peter (Welter Weight).

Dua pingat gangsa pula disumbangkan oleh Jackson Chambai Ikeh (54 kg) dan Hellary Hendry (92 kg).

Selain itu, penampilan dalam temasya berprestij negara iaitu Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN Kuala Lumpur 2022 juga tidak menghampakan.

Kontinjen Sarawak menduduki tempat keempat dengan memperoleh 127 pingat keseluruhan iaitu 32 pingat emas, 43 perak dan 52 gangsa.

Ia dianggap pencapaian membanggakan setelah menyaksikan peningkatan prestasi atlet dalam acara berbeza, terutama membabitkan atlet baharu yang mampu menyerlah pada kejohanan lain pada masa akan datang.

Kejayaan demi kejayaan diperoleh atlet Sarawak memperlihatkan pelan atau program pembangunan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan menerusi dua badan induk iaitu Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) berjaya mencapai objektif sebenar.

BONNIE BUNYAU
PANDELELA RINONG

Suara Sarawak