KEJUTAN…Azlan Mos berjaya mencipta rekod baharu kejohanan.

KUALA LUMPUR: Jaguh powerlifting Sarawak, Azlan Mos, 31 melakar sejarah tersendiri apabila mencipta rekod baharu di temasya Para Sukma XX MSN, Kuala Lumpur 2022 hari ini bagi kategori 59 kg dengan angkatan seberat 150 kg yang berjaya dilakukan pada percubaan keempat.

Sekali gus, mengatasi rekod yang pernah dicipta legenda powerlifting kelahiran Sarawak, Gustin Jenang pada temasya sama yang berlangsung di Sukan Para Sukma Perak 2018.

Cemerlang pada tiga percubaan sebelum itu dengan catatan 135kg pada angkatan pertama, diikuti 140kg untuk angkatan kedua dan 145kg pada angkatan ketiga.

“Cukup gembira dengan kejayaan luar jangkaan yang diperoleh. Malah, tidak menduga mampu melakukan yang terbaik bukan sahaja dapat menghadiahkan pingat emas untuk kontinjen Sarawak tetapi juga mencipta rekod baharu kejohanan,” ujar Azlan kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut Azlan, sentiasa fokus selain berbekal semangat juang tinggi mengiringi pada setiap kali melakukan angkatan.

Tegas anak jati kelahiran Sebuyau itu, keyakinannya semakin tinggi sebaik berjaya melepasi bebanan pada angkatan pertama.

Pingat perak kategori tersebut milik Muhammad Ashraff Ishak dari Selangor (81kg). Manakala, pingat gangsa dikongsi bersama Muhammad Bukhari Md Zan (Johor/80kg) dan Muhammad Aufa Syafiq Sabaruddin (Pulau Pinang/80kg).

Suara Sarawak