BAGI memastikan rakyat mendapat kediaman yang selesa, Kerajaan Sarawak memperkenalkan inisiatif Program Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS).

Program PPRMS yang mula diperkenalkan sejak tahun 2018 itu telah berjaya membaik pulih ribuan rumah rakyat Sarawak yang perlu ditambah baik bagi memastikan penduduk mendapatkan tempat perlindungan yang lebih selamat.

Melalui inisiatif tersebut juga, pelaksanaan kerja-kerja baik pulih rumah penduduk kampung yang terlibat juga dilaksanakan secara gotong-royong oleh ahli jawatankuasa kampung masing-masing yang menelan kos sekitar RM5,000 hingga RM10,000 berdasarkan keperluan setiap projek yang ada.

Kerajaan Sarawak juga memperkenalkan Skim Pinjaman Perumahan Rumah Panjang (SPPRP) memberikan peluang kepada masyarakat memohon pinjaman tersebut bagi membina baharu rumah panjang mereka.

Setiausaha Politik Premier Sarawak, Edwin Banta berkata, skim ini banyak membantu dan memberikan kelegaan kepada penduduk yang sebelum ini tertanya-tanya mengenai pinjaman untuk rumah panjang.

“Pinjaman seperti ini akan dapat memberikan kelegaan kepada penduduk untuk membina rumah panjang mereka, terima kasih kepada Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) kerana menyediakan kemudahan SPPRP dengan bayaran balik yang rendah.

“Menerusi skim ini, setiap pintu akan menerima pinjaman sebanyak RM30,000 hingga RM840,000 bergantung pada jumlah pintu rumah, dengan penduduk hanya perlu membayar secara ansuran sebanyak RM100 dalam tempoh 25 tahun,” katanya lagi.

Peruntukan ini, tambahnya lagi, dari Kerajaan Sarawak adalah untuk membantu meringankan beban penduduk membina rumah panjang mereka.

Suara Sarawak