KEKAL BERSAMA SARAWAK…S.Balachandran.

KUCHING: Presiden Sarawak United FC (SU FC), Datuk Posa Majais menegaskan pihaknya memuktamad keputusan untuk mengekalkan S.Balachandran sebagai ketua jurulatih musim depan.

Menurut Posa, perbincangan empat mata dengan bekas penolong jurulatih kebangsaan itu semalam mencapai keputusan positif.

“S.Balachandran kekal mengemudi pasukan SU FC musim depan,” ujar Posa kepada Arena Suara Sarawak.

Posa menegaskan, keputusan untuk mengekal guna khidmat Bala musim depan akan dimaklum kepada pihak pengurusan pasukan dalam tempoh terdekat.

Dalam pada itu, pihaknya juga akan mengekal kesemua pemain tempatan yang ada untuk pembentukan pasukan berwajah baharu bagi menghadapi saingan musim depan.

“Kita akan menggunakan khidmat pemain tempatan musim depan selain akan turut menyerap pemain daripada skuad pelapis (Piala Presiden),” tambah Posa.

Sambil itu, beliau akui akan melihat keperluan untuk mengguna khidmat pemain import dari Semenanjung.

“Ada ramai pemain dari Semenanjung yang ingin menyarung jersi SU FC.

“Setakat ini kita fokus kepada penggunaan pemain tempatan sahaja dan belum melihat keperluan menggunakan import tempatan,” jelas Posa.

Suara Sarawak