Abang Johari di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang ke-19
FOTO: Ghazali Bujang

KUCHING: Kerajaan Sarawak perlu membangunkan bakat anak muda bertaraf dunia agar dapat menjadi asas kepada masa depan negeri ini, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Sarawak itu menambah, pendidikan penting kerana menerusi ilmu yang diperoleh, ia dapat membantu golongan tersebut mencapai potensi penuh mereka.

“Susulan itu, kita akan terus melabur dengan banyak dalam bidang pendidikan bagi membangunkan bakat anak-anak melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2023 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau mendedahkan bahawa inisiatif pertama dalam memastikan pembangunan bakat anak muda adalah menerusi program dwi bahasa (DLP).

Menurutnya lagi, sejak 2019, kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM13 juta bagi memastikan program ini berjaya, manakala pada tahun 2023, sejumlah RM1 juta akan disediakan untuk program ini.

“Sarawak merupakan satu-satunya negeri yang melaksanakan DLP melibatkan pengajaran dan pengajian bidang Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Manakala, sejumlah RM28 juta bakal diperuntukkan untuk menubuhkan Institusi Pembelajaran dan Pusat Sumber pada tahun 2023.

“Penubuhan prasekolah baharu SeDidik di seluruh Negeri terutamanya untuk menampung kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah dengan peruntukan RM20 juta.

“Selain itu, Pusat Latihan Automotif Termaju dengan peruntukan RM7 juta dan Penubuhan perpustakaan kampung di pekan-pekan kecil di Sarawak dengan peruntukan RM1 juta juga akan dilaksanakan,” ujarnya.

Seterusnya, beliau juga memberitahu bahawa menerusi inisiatif kedua berhubung peningkatan pembangunan bakat, kira-kira RM3 juta diperuntukkan melalui Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat pada tahun 2023.

Malah, sejumlah RM1.3 juta tambahan akan disediakan pada 2023 untuk memupuk pengetahuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam kalangan guru dan pelajar.

Suara Sarawak