SEKITAR pemantauan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Betong di Jalan Ulu Roban, hari ini.

ROBAN: Tiga rumah panjang di Jalan Ulu Roban terputus hubungan dan tidak boleh dilalui kenderaan apabila jalan utama dinaiki air melebihi lima kaki.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong Leftenan Muda Desem Samuel berkata, sebuah sekolah iaitu SK Ulu Roban turut terjejas kerana laluan menuju ke asrama ditenggelami air.

“Tiga rumah panjang yang tidak dapat dilalui kenderaan ialah Rh Digun, Rh Belayong dan Rh Sulau.

“Sementara Rh Sungai Jaong turut dinaiki air sedalam sekaki dan masih boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelasnya, keadaan semasa cuaca adalah mendung dan paras air masih mendatar.

Katanya, empat rumah panjang yang terjejas sepanjang jalan itu melibatkan 116 pintu, di samping 49 warga SK Ulu Roban.

Tambah Desem, pihaknya masih memantau keadaan dari semasa ke semasa dan bersedia dengan aset lori serta bot bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Bagaimanapun katanya lagi, tiada pemindahan dibuat dan penduduk diingatkan terus berwaspada.

SEKITAR pemantauan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Betong di Jalan Ulu Roban, hari ini.

Suara Sarawak